Laman Web Rasmi SK Linungkuan, Tuaran

Ilmu Cahaya Hidup

Sejarah Sekolah

PENGENALAN

Latar Belakang Sekolah Kebangsaan Linungkuan

Sekolah Kebangsaan Linungkuan merupakan sekolah yang kecil dan terpencil. Ia terletak di Mukim Tenghilan dalam daerah kecil Tamparuli. Jaraknya lebih kurang 7 kilometer daripada Pekan Tenghilan dan 35 kilometer daripada Tamparuli. Sekolah ini boleh diihubungi dengan berjalan kaki dan kenderaan seperti basikal, motosikal dan kereta pada musim kemarau. Di sebaliknya, pada musim tengkujuh atau hujan sekolah ini hanya boleh dihubungi dengan berjalan kaki kerana jalannya berlumpur dan licin.

Kawasan persekitaran sekolah ini terdiri daripada bukit-bukau yang diusahakan dengan pertanian getah, koko dan tidak lama lagi kawasannya akan bertambah ramai apabila kawasan ladang kelapa sawit yang sedang diusahakan sekarang ini dimajukan. Ladang tersebut dipunyai oleh pengusaha persendirian.

Kewujudannya

Pada peringkat awalnya, Sekolah Kebangsaan Linungkuan wujud atas inisiatif dan semangat yang padu orang-oang kampung Linungkuan ketika itu. Mereka diketuai oleh mendiang KK Ajak bin Linggin. Mereka membangunkan sekolah itu secara bergotong-royong yang bertiangkan kayu biasa, berdindingkan buluh dan beratapkan zink di sebuah bukit ditengah-tengah kampung Linungkuan. Memandangkan keperluan sekolah oleh masyarakat begitu mendadak, KK Ajak bin Linggin mengarahkan En. Wilson b. Molondoi untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak Jabatan Pelajaran  ketika itu sehinggalah mendapat kebenaran menubuhkan kelas dan seterusnya memulakan pelajaran.

Naik Taraf

Sekolah Kebangsaan Linungkuan mula memberikan berkhidmat kepada masyarakat Linungkuan dan sekitar pada 5 November 1961. Ianya dimulakan oleh En. Wilson b. Molondoi selaku Guru Besar pertama yang bilangan murid hanya 25 orang. Sekolah tersebut dikendalikan oleh beliau seorang diri selama 1 tahun 2 bulan sehinggalah beliau mendapat tawaran mengikuti kursus perguruan di Native Voluntary Teacher Trainning Centre (NVTTC) Tanjung Aru, kota Kinabalu. Beliau diganti oleh En. Antis yang berasal dari Kg. Selupoh, Tuaran selaku guru besar yang kedua. Beliau juga mengendalikan sekolah itu seorang diri sehinggalah guru besar yang pertama kembali semula ke sekolah itu.

Pada 4 September 1963, En. Wilson kembali bertugas di sekolah tersebut. En. Antis kembali bertugas ke Daerah Tuaran pada 5 September 1963. Untuk menambahkan tenaga pengajar, En. Wilson mengemkakan cadangan kepada Jabatan Pelajaran supaya adiknya, Cik Sunah Molondoi menjadi guru penolong di sekolah itu memandangkan bilangan murid kian bertambah. Cadangan tersebut diterima oleh Jabatan Pelajaran dan beliau pun bertugas sehinggalah masuk ke Maktab Perguruan Kent, Tuaran pada 15 Februari 1964. Sebagai gantinya En. Bakri Omar yang berasal dari Kampung Bolong, Tuaran dihantar bertugas di sekolah itu.

Pada awalnya sekolah tersebut dipanggil sebagai Native Voluntary School Linungkuan, Tuaran (NVS. Linungkuan). Tetapi pada 10 Januari 1965 pihak sekolah menerima surat Pekeliling Jabatan Pelajaran untuk menukarkan nama sekolah tersebut kepada Goverment Primary School Linungkuan, Tuaran (GPS Linungkuan, Tuaran). Ini bermakna sekolah kampung bertukar kepada sekolah kerajaan.

Tidak lama selepas itu, Jabatan Pelajaran telah menghantar seorang lagi guru ke sekolah itu iaitu Cik Dana Tiaim yang mengajar hanya 6 bulan di sekolah itu kerana beliau ditukarkan ke NVS Kayangat. Sementara mendiang cikgu Kensamat dari NVS Kayangat pula ditukarkan ke GPS Linungkuan sebagai ganti. Pada tahun 1966, En. Bakri Omar bertukar ke GPS. Selupuh, Tuaran dan diiganti oleh Cikgu Francis Lamun berasal dari Kampung Tenghilan, Tamparuli.

Setelah beberapa tahun pembelajaran berjalan, guru besar dan duru-guru berpendapat dan merasakan kedudukan sekolah itu tidak begitu sesuai dan strategik kerana sebab-sebab berikut:

Ianya terletak di atas bukit di Kg. Linungkuan menyebabkan murid dari kampung sekitar seperti Kg. Gumoron dan Kg. Monggis susah ke sekolah kerana jauh.

Kawasan tersebut tidak luas dan tidak sesuai untuk tapak padang kerana curam. (tiada padang)

Oleh yang demikian, Guru Besar En. Wilson Molondoi menjemput orang -orang kampung bermesyuarat untuk mencari tapak yang sesuai dan terletak di pertengahan kampung berkenaan. Antara keputusan yang diketengahkan ialah:

Tapaknya ialah di tepi sungai Sulaman yang dipanggil KOLAM  (tapak sekarang)

Orang kampung bersetuju mendirikan bangunan sementara secara bergotong-royong.

Keputusan mensyuarat berhubung dengann perkara tersebut dihantar ke Jabatan Pelajaran untuk tindakan pihak berkenaan. Sebaik sahaja bangunan sekolah di tapak sekarang itu siap, murid-murid pun turun dari sekolah lama ke sekolah tersebut untuk mulakan pelajaran seperti biasa. Bangunan rumah guru juga didirikan serentak dengan pembinaan sekolah. Murid-murid belajar menggunakan bangunan tersebut mulai 25 Jun 1966 hinggalah 10 April 1967. Selepas tarikh tersebut barulah Jabatan Pelajaran mengeluarkan peruntukan bangunan baru sesuai dengan pertambahan murid ketika itu.

Setelah bangunan itu siap dibina, ianya dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Bahagian Pantai Barat dan Labuan ketika itu iaitu En. Abdul Malek Moksin pada 6 Ogos 1968. Sekolah GPS Linungkuan seterusnya ditadbir oleh En. Wilson Molondoi sehinggalah beliau berhenti (letak jawatan) sebagai guru kerana sesuatu sebab yang beliau tidak dapat elakkan. Beliau diigantikan olehg En. Jonathan Danggon yng berasal dari Kampung Saradan Tenghilan.

Pada tahun 2008/2009 sekolah tersebut telah distrukturkan semula dan diletakkan dibawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Tuaran. Ini bermakna ia tidak lagi ditadbir oleh Pejabat Pelajaran Gabungan Kota Belud ( KOBTAR ).

Leave a comment